(Murid tahun 6, 2023)
Hari ini, saat kita berada di ambang perpisahan, Cikgu Nor ingin menyusun sepuluh jari memohon maaf andai salah dan silap yang telah cikgu lakukan terhadap kalian. Mungkin ada kata-kata dan tindak tanduk cikgu yang telah mengguris hati kalian. Tidak terlintas dihati cikgu untuk melukai hati kalian. Semuanya adalah untuk mendidik kalian menjadi insan berguna.
Cikgu Nor ingin mengatakan betapa berharganya perjalanan pembelajaran bersama kalian selama ini. Kalian telah menunjukkan ketekunan, kegigihan, dan semangat yang luar biasa dalam mengejar ilmu dan pembelajaran sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
Melihat perkembangan kalian dari awal hingga kini sungguh memberangsangkan. Kalian telah berjaya menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran dengan semangat yang berkobar-kobar. Setiap langkah positif yang kalian ambil membawa kalian lebih dekat kepada impian dan matlamat hidup.
Murid tahun 6 mengetuai acara senamrobik hari sukan negara.
Cikgu nak kalian semua tahu bahawa semua cikgu sangat sayangkan kalian kerana kalian anak-anak kami yang baik budi perkerti, hormat orang tua dan rajin belajar. Kekalkan lah sikap ini ke mana saja kalian pergi. In shaa Allah, kejayaan sedang menanti kalian di hari depan.
Doa Cikgu akan sentiasa mengiringi perjalanan hidup kalian di luar sana. Moga setiap langkah yang anda ambil selepas ini membawa kebahagiaan dan kejayaan serta memberi kebaikan kepada diri, keluarga dan negara. Teruskan usaha untuk kembangkan potensi diri dan percayalah kepada diri sendiri seperti yang telah kalian lakukan selama ini.
Selamat tinggal, sampai jumpa lagi. Senang-senang datang lah jenguk cikgu di SKSA. Jika terjumpa cikgu di mana-mana tegurlah Cikgu. Terima kasih, dan semoga kejayaan menjadi milik kalian.
Salam Mesra,
Cikgu Noraini Othman (Cikgu BM dan Sejarah)
0 Comments