TAJUK : RINDU
Di sebuah kampung kecil yang indah, tinggal seorang kanak-kanak bernama Marry. Walaupun hidup tanpa ibu dan ayah kandung, Marry membesar dengan kasih sayang ibu dan bapa saudaranya yang menjaganya seperti anak sendiri.
Marry seorang anak yang rajin dan pintar. Setiap pagi, dia akan membantu ibu saudaranya mengemas rumah sebelum ke sekolah. Dia tidak pernah mengeluh, kerana dia tahu, ibu dan bapa saudaranya telah banyak berkorban untuk membesarkannya.
Namun, jauh di sudut hatinya, Marry sering merasa rindu. Rindu akan kasih sayang ibu dan ayah yang tidak sempat dia kenali. Tetapi, dia tidak pernah membiarkan perasaan itu melemahkan dirinya. Sebaliknya, Marry menjadikan rindu itu sebagai pencetus semangat untuk belajar bersungguh-sungguh. Dia bercita-cita untuk menjadi seorang doktor, agar suatu hari nanti dia dapat membalas jasa ibu dan bapa saudaranya kerana telah menjaga dirinya selama ini.
Setiap kali menduduki peperiksaan atau ujian, Marry selalu mendapat mendapat markah yang tinggi. Guru-gurunya sangat kagum dengan ketekunannya dalam mengulangkaji pelajaran setiap masa. Ibu dan bapa saudaranya tersenyum bangga setiap kali melihat kejayaan Marry.
Setelah menamatkan pengajian di sekolah, Marry telah melanjutkan pelajaran ke Universiti Sains Malaysia. Tahun demi tahun berlalu Marry belajar, akhirnya impian Marry menjadi kenyataan. Dia berjaya menjadi seorang doktor. Pada hari pertama dia menerima gaji, perkara pertama yang dilakukan adalah membawa ibu dan bapa saudaranya ke sebuah restoran untuk meraikan jasa mereka.
"Dulu Marry selalu rindu ibu dan ayah," kata Marry sambil menggenggam tangan ibu saudaranya, "tapi sebenarnya, kasih sayang yang paling indah adalah dapat bersama dengan orang yang telah bersusah payah demi kebahagian kita." Marry berasa sangat gembira dan berharap dapat terus hidup bahagia bersama keluarganya.
Pengajaran: Cerita ini mengajarkan kita bahawa rindu bukanlah kelemahan, tetapi boleh menjadi kekuatan untuk kita terus berusaha dan berjaya. Ia juga mengingatkan kita tentang pentingnya bersyukur dan menghargai kasih sayang orang-orang di sekeliling kita.
0 Comments